Thursday, April 18, 2013

Waspada Bengkak Kaki Berpanjangan





Kaki bengkak semasa hamil biasa berlaku di kalangan bakal ibu. Perkara ini normal bagi mereka namun apabila ia berlaku, bakal ibu perlu mengambil langkah berjaga-jaga. Jika ia berlarutan dikhuatiri ia mempunyai kesan sampingan yang lain.
Pembengkakan atau edema sepanjang kehamilan sering berlaku terutama pada akhir trimester. Walau bagaimanapun, ada juga di kalangan wanita hamil yang mengalami keadaan bengkak ini pada usia kehamilannya lima bulan. Bagaimanakah pembengkakan ini boleh berlaku?

Wanita hamil akan menghasilkan darah dan cecair dalam tubuh mereka 30 peratus lebih banyak berbanding wanita biasa. Keadaan ini berlaku bagi memenuhi keperluan perkembangan janin di dalam kandungan. Oleh yang demikian, peningkatan cecair itulah yang memungkinkan berlakunya pembengkakan pada bahagian-bahagian tubuh wanita hamil.
Selain itu, gangguan pada kitaran darah juga boleh menyebabkan berlakunya pembengkakan. Antara lain yang menyebabkan keadaan ini berlaku adalah kantung rahim yang semakin membesar dan memberi tekanan kepada pembuluh darah di bahagian pinggul dan vena.

Graviti bumi juga menjadi pemangkin yang menyebabkan tarikan ke bawah. Atas faktor ini, kebanyakan wanita hamil mengalami pembengkakan pada bahagian kaki. Bengkak yang dialami oleh wanita hamil akan menjadi bertambah teruk setelah memasuki penghujung hari iaitu pada sebelah petang atau malam.

Ia diakibatkan aktiviti berdiri terlalu lama atau terdedah pada terik mentari di sepanjang hari. Tidak dinafikan juga keadaan bengkak ini boleh berlaku pada bahagian tangan, wajah dan anggota-anggota lain pada tubuh.

Perlu diketahui, keadaan bengkak yang berlaku semasa hamil bukanlah satu masalah besar yang perlu dirisaukan. Walau bagaimanapun, keadaan ini tetap memberi ketidakselesaan kepada wanita hamil. Keadaan ini dapat dikurangkan dengan berehat seketika mahupun tidur pada sebelah malam.

Namun bakal ibu perlu mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya mengalami pembengkakan secara berpanjangan. Mereka perlu mendapatkan rawatan daripada doktor kerana dikhuatiri keadaan yang berlaku menjadi tanda bahawa bakal ibu berisiko untuk mengalami komplikasi kehamilan yang dikenali sebagai pre-eklampsia.

Tiga Kaedah Atasi Bengkak
Kaki yang membengkak dan terasa berat akibat cecair dalam tubuh sepanjang kehamilan boleh dikurangkan dengan tiga langkah mudah ini. Pastinya latihan ini tidak memberi kemudaratan kepada bakal ibu.
Sebaik sahaja selesai melakukan senaman ini, naikkan kaki ke atas sofa dan minta bantuan suami untuk melakukan urutan.

Ankle Pump
Dekatkan diri anda pada tangga. Pegang tangga dengan tangan anda. Berdiri dengan tapak kaki diletakkan pada tepi tangga paling rendah. Kemudian turunkan tumit. Secara perlahan-lahan, angkat tumit hingga posisi menjinjit. Lakukan dua pusingan yang mana setiapnya diulang sebanyak 20 kali.

Toe Circle
Bakal ibu duduk di kerusi, angkat satu kaki dan gerakkan seolah-olah menggambarkan huruf-huruf di udara dengan jari kaki anda. Lakukan set menulis huruf A hingga Z pada jari kaki anda. Senaman sebegini juga boleh dilakukan sambil berbaring.

Towel Scrunches
Duduk di kerusi, bentangkan tuala kecil di atas lantai iaitu berdepan dengan kerusi. Ambil tuala kecil itu dengan jari-jemari sebelah kaki dan gerakkan mendekati anda. Lakukan senaman ini sebanyak empat pusingan pada setiap kaki.

Mengurangkan Risiko Pre-Eklampsia
Bengkak pada kaki berkemungkinan boleh mengundang risiko pre-eklampsia. Seharusnya bakal ibu perlu mengambil langkah berjaga-jaga. Justeru, bakal ibu boleh mempraktikkan kaedah mudah di bawah untuk mengurangkan risiko yang bakal berlaku.

Ibu hamil perlu mengambil makanan tambahan seperti multivitamin untuk keperluan tubuhnya. Mengambil folik asid sepanjang kehamilan boleh mengurangkan risiko pre-eklampsia sehingga 50 peratus. Digalakkan juga mengambil makanan berserat. Berdasarkan kajian yang dilakukan di Universiti Washington, Amerika Syarikat, memakan buah-buahan dan sayusayuran boleh mengurangkan risiko preeklampsia.

Ibu hamil perlu mendapatkan rawatan pergigian. Hal ini kerana bakteria yang boleh merosakkan gigi boleh menjadi pemangkin pre-eklampsia. Justeru, mereka perlu menggosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dan menggunakan flos.

Bakal ibu perlu mempraktikkan amalan berjalan. Berdasarkan kajian, wanita hamil yang berjalan kaki secara teratur berisiko rendah untuk mengalami pre-eklampsia berbanding wanita hamil yang malas berjalan.


credit to : mingguan wanita